Khidmat Urutan Satu Badan

Membantu merawat sengal-sengal badan, lenguh peha lutut pinggang dan sewaktu dengannya.

Rawatan Islam

Membantu merawat penyakit yang berkaitan gangguan jin, sihir, saka dan sewaktu dengannya

Jin Gayy

Jin Gay
Telefon kecil berdering dengan nada dering lantang, menerima panggilan daripada seseorang. Ingin membuat temujanji untuk selesaikan masalah gangguan jin pada dirinya.
Sang faqir bertanya, "gangguan macam mana? "
Jawab orang tersebut, " takpelah ustaz, nanti kita jumpa saya explain. Susah nak cerita dalam telefon nie."
Sang faqir sambil meneruskan semula coretan pada buku catatan, menjawab dengan pasrah,
" ye la."
Hari yang dijanjikan tiba.
Hadir seorang lelaki seorang diri, wajah bersih, dengan janggut dan misainya dikemas rapi.
Memperkenalkan dirinya sebagai Ustaz D.
Selesai taaruf, Ustaz D memulakan penceritaan permasalahannya.
"Begini ustaz, saya ada masalah... erm macam mana ye nak cakap? Takpelah, saya straight to the point je la ye." Ustaz D memulakan bicara cerita.
Sang faqir memberi isyarat meminta beliau teruskan sahaja.
"Begini, masalah saya nie dah lama, sejak zaman sekolah dulu, saya ingat dah berkahwin dan siap ada anak, masalah saya dah selesai, tapi macam makin teruk. Jumpa ramai perawat lain, ada yang cakap sihir, ada yang cakap saka, ada yang cakap jin asyiq, ada yang cakap jin khunsa."
Ustaz D meneruskan bicara.
Sang faqir hampir tersandar rebah ke belakang apabila Ustaz D sebut 'jin khunsa'. Apa kaitan jin khunsa dengan masalah beliau? Seperti sudah dapat jangka, namun oleh kerana bukan dari kalangan orang yang kasyaf dan tidak pandai 'scanning', maka sang faqir biarkan Ustaz D berterus terang.
"Maksud Ustaz?" Sang faqir bertanya.
"Macam nie, senang cerita, saya dari dulu lagi, dari sebelum nikah, saya ada selera pada orang lelaki, mudah cerita, sama jenis, saya geram tengok orang-orang laki yang jambu-jambu, paling buat saya teransang, tengok yang tiada janggut, semakin lama, selepas itu, saya minat tengok budak-budak lelaki, saya teransang." Ustaz D menyambung.
Sang faqir sambil melurut janggut, sambil memeriksa samada janggut ada atau tidak, sambil memerhati gerak tindak Ustaz D. Ya, ternyata, sang faqir masih berjanggut. Ada rasa sedikit selamat.
"Boleh saya tahu, Ustaz mengajar apa ye?" Soal sang faqir.
"Saya mengajar Usuluddin dan usul fiqh." Jawab Ustaz D.
"Masa mengajar, ada rasa teransang tak, kalau tengok anak-anak murid? " Sang faqir menyambung soal.
"Terus terang memang ada, dulu terkawal, sekarang sampai satu tahap saya tidak tahan, kalau gosok budak tu, baru ada lega sikit, tapi masih teransang. Kenapa ye saya nie ustaz? Jin apa ada dengan saya nie? " Ustaz D menyoal.
Kemudian menyambung lagi, " ada beberapa perawat Islam saya pergi, mereka kata jin yang ada pada saya nie, jenis jin Gay, jin yang minat sesama jenis."
Hampir sang faqir ketawa besar mendengar tentang jin gay tersebut. Aduhaiii.. perawat Islam.. Jin juga yang di'gay'kan kalian.
"Selain dari perawat Islam, Ustaz ada jumpa Ulama' ke, orang Alim ke, minta tolong doakan atau tanyakan pendapat mereka? " Soal sang faqir.
"Ada, waktu di Mesir dalam 9 tahun lepas, saya ada rujuk dengan beberapa Syeikh di sana, kebanyakannya menasihati saya pelbagai, tapi kebanyakan suruh saya nikah, untuk selesaikan. Saya dah nikah, dah ada anak 2 orang, ada slow dah tapi sekarang masalah nie macam makin menjadi." Jawab Ustaz D.
"Selain itu apa lagi dah buat?" Soal sang faqir lagi.
"Macam saya beritahu tu lah, jumpa perawat, segala jenis darul, tapi keadaan saya semakin runcing. Saya dah buntu, saya bimbang saya buat sesuatu di luar kawalan. Itu saja." Ustaz D merintih.
"Setakat ini ada buat tak yang di luar kawalan tu?" Soal sang faqir.
"Setakat nie, hampir-hampir buat adalah, tapi saya cepat-cepat sedar, kebetulan ada cikgu masuk bilik rehat tu, saya tak sempat buat apa-apa." Terus terang Ustaz D.
Sang faqir merasa simpati dengan permasalahan beliau.
"Ustaz, masalah Ustaz tiada kena mengena dengan jin, sikit pun tiada. Masalah ini dipanggil Hallatun Nafsiyyah, iaitu masalah kejiwaan. Begini, saya tanya beberapa soalan, saya harap Ustaz jawab dengan jujur, boleh?" Sang faqir membetulkan tempat duduk.
Ustaz D memberi isyarat setuju.
"Ustaz pernah diliwat atau dipaksa melakukan sebarang perbuatan salah laku seks atau seks luar tabie masa kecil atau masa belajar dulu?" Soal sang faqir.
" Ada ustaz, masa umur saya 9 tahun, saya diliwat dan dipaksa oleh pakcik saya buat oral seks. Berlarutan sampai usia nak masuk asrama. Saya mengadu pada ibu masa tu, ibu tak percaya, pasal pakcik saya tu lebai. Takpelah, dia pun dah meninggal, saya pun dah maafkan dia." Ustaz D memulakan cerita.
"Lagi?" Sang faqir minta sambung jika ada.
"Kemudian, saya masuk madrasah, di sana, saya dipaksa senior-senior buat benda yang sama, oral seks, dan kemudian saya diliwat. Sampai saya dah lali, ustaz. Saya cuba hendak mengadu, tapi ustaz yang saya adukan tu buat endah tidak endah, tidak percaya, pasal senior yang buat saya tu, pelajar terbaik di madrasah, hadith, Al Quran, jadi buah mulut dia saja. Sampai lama-lama, saya jadi rela diperlakukan, kemudian suka. Pasal dah biasa. Sebenarnya ramai lagi yang jadi macam saya nie di madrasah, ustaz. Kalau buat aduan pun, mudir tak berapa ambil endah, katanya buat fitnah, malahan kami yang buat report nie pun kena ugut, suruh diam, tak payah banyak bising." Ustaz D terdiam seketika.
"Sampai saya sambung belajar di mesir pun, ada yang jenis macam senior saya tu di sana. Macam mana saya nak lari?" Ustaz D mengeluh.
"Ok Ustaz, secara gambaran, Ustaz faham tak kenapa Ustaz jadi begini?" Soal sang faqir.
"Boleh nampak sikit-sikit dah. Jadi apa yang perlu saya buat ye?" Soal Ustaz D.
"Pertamanya, masalah Ustaz adalah berpunca daripada sejarah yang berulang-ulang. Kita perlu 'delete' sejarah tersebut dulu, kemudian kita 'install' program baharu, kemudian kita 'run'." Sang faqir memberi pandangan.
"Maksud ustaz?" Ustaz D menyoal.
"Delete sejarah, dengan maksud Ustaz perlu bersihkan dalaman, kita install program baharu, maksud Ustaz perlu cari persekitaran dan ruangan baharu, kita Run, maksudnya kita hayati program tadi tanpa kembali tekan butang history dan perlu empty recycle bin. Kita guna kaedah KHO, HA dan JIM. TAKHALLI, TAHALLI dan TAJALLI." Sang faqir melanjutkan.
"Ajarkan saya ustaz, saya hendak tahu." Ustaz D merayu.
"InsyaALLAH saya ajarkan. Rasanya Masyaikh di Mesir pun dah ajar pada Ustaz benda nie." Sang faqir menjawab.
"Memang ada ajar, tapi masa tu saya ambil ringan, saya lebih pandang masalah saya nie, masalah kena dengan jin. Pesanan Syeikh saya ambil ringan. Lagho sungguh saya. Minta ustaz tunjuk ajar." Ustaz D merayu.
Sang faqir memberi isyarat kesudian untuk kongsikan pada beliau.
Sesi sang faqir bersama Ustaz D selesai beberapa ketika selepas itu.
Dalam awal tahun ini, semasa berjalan mencari barang di pasaraya Mydin, sang faqir di sapa dari belakang oleh seseorang.
"AssalaamuAlaikum ustaz, ingat lagi tak saya?" Orang tersebut menegur.
Diperhati betul-betul, baharu perasan, beliau adalah Ustaz D. Saiz badan beliau yang semakin bertambah membuatkan sang faqir teragak-agak pada awal.
Sambil mendukung anak ketiga beliau, beliau menarik sang faqir ke satu sudut, menarik tangan sang faqir dan menciumnya. Sambil mengucapkan terima kasih.
"Ustaz, berkat doa ustaz, berkat yang ustaz kongsikan tahun lepas, saya buat. AlhamduLILLAH, saya dah 'bebas'. Terima kasih banyak-banyak ustaz. ALLAH saja mampu beri yang sepatutnya pada ustaz. Kalau ada duit pun, saya rasa tak mampu nak bayar ustaz." Ustaz D menitiskan air mata.
"Ustaz, saya sekadar hamba ALLAH, khidmat RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam dan khadam ilmu, tidak lebih dari itu, kita sama. Saya gembira Ustaz dah selamat. Kita sama-sama doa. Sebab tu penting tahu punca, tahu jenis penyakit sebenar, mudah nak ikhtiar penawar sebenar. Ini asyik cerita hantu saja, sampai bila pun tak habis." Sang faqir membalas.
Perbualan kami selesai apabila bekas kekasih sang faqir memanggil sang faqir untuk tolong mengangkat barang.
Kepada pembaca sekalian perkongsian kali ini hendak membawa kalian kepada 3 maksud :
1) Jaga jatidiri anak-anak. Mereka perlu tahu hal KEHORMATAN, bukan KEMALUAN. Ubahlah kalimat 'kemaluan' (yang melibatkan alat sulit atau tempat sensitif) kepada kalimat KEHORMATAN, supaya mereka lebih berjaga-jaga. Ibubapa juga perlu lebih peka.
2) Madrasah, maahad atau pondok atau sebarang institusi pengajian tidak bersalah dalam soal ini. Namun, kes-kes seperti Ustaz D di madrasah bukan perkara asing, cuma ianya adalah kes yang didiamkan. Maka, sudah tiba masanya segala pelusuk pihak lebih peka. Semakin hendak beriman, semakin akan diuji, itu hakikat di dunia ini. Maka, tiada keperluan mencari salah sesiapa sekarang, yang perlu adalah KEPEKAAN, bukan 'KEPEKAKAN dan KEBISUAN
3) Kepada mereka yang bermasalah seperti masalah di atas, kalian perlukan terapi segera. Carilah mereka yang relevan. Bukan dari kalangan yang asyik salahkan jin, puaka, hantu dan jembalang semata-mata.
Jangan berhenti belajar.
Kepada yang berminat hendak mengetahui perbezaan antara gangguan jin, sihir dan seangkatannya dengan permasalahan Hal Nafsiyyah. Penyertaan Kursus Sihir hujung minggu ini masih dibuka. Daftar segera. Tempat semakin sempit. Maklumat seperti dalam poster.
Semoga bermanfaat.
Share jika berfaedah.
Sebarang pindaan adalah dilarang.

Sawan Tangis dan Kaedah Rawatan yang Boleh diberikan.

Sawan Tangis dan Kaedah Rawatan yang Boleh diberikan.
Pengenalan
Kanak-kanak atau bayi yang sakit sawan tangis biasanya akan menangis pada masa-masa tertentu tanpa sebab atau punca. Selalunya tangisan itu memanjang untuk beberapa jam.
Sawan tangis ini di sebabkan oleh rasukan atau gangguan jin atau makhluk halus. Dalam masa yang tertentu, bayi itu kadang-kadang memperlihatkan reaksi luar biasa, dengan wajah yang ketakutan seolah-olah sedang melihat satu objek yang menggerunkan di hadapannya.
Adakala nya makhluk halus ini memasuki badan bayi tersebut dan menggangu sistem urat saraf dan ini membuat bayi itu kesakitan atau tidak selesa. Selalunya bila merawat bayi yang kena sawan tangis, penulis mendapati adanya jin atau makhluk halus di bahagian urat saraf bayi atau di bahagian abdomen atau perut bayi. Makhluk halus ini yang menyebabkan bayi itu mengalami stomach cramps yang kita katakan colic pains.
Jenis-jenis atau Punca Penyakit
1. Bayi yang di bawah umur 3 bulan selalunya menangis di waktu senja yang di kenali dengan “evening colic”. Setelah berhenti, ia akan menagis semula. Demikianlah halnya yang berlaku, yang kadang-kadang memakan masa berjam-jam.
2. Bayi atau kanak-kanak akan menangis pada waktu yang tertentu sahaja seperti tengah malam atau waktu maghrib.
Simptom
1. Tangisan akibat gangguan pada kebiasaannya mengeluarkan suara yang mendayu-dayu dan berpanjangan. Mata bayi kelihatan kejam. Kalau diperhatikan dengan teliti, akan didapati bahawa tangisan itu terjadi seumpama dalam keadaan tidak sedarkan diri (tidur).
2. Kanak-kanak yang dalam keadaan terganggu, adakala berhenti menangis semula. Mata yang kejam ketika berhenti menangis itu kadang-kadang melahirkan ombak di kelopak mata, seolah-olah kedua-dua biji matanya itu sedang memerhatikan sesuatu di bahagian kanan atau pun kiri.
3. Ada anak-anak kecil yang terganggu, menangis dan menjerit dalam keadaan ketakutan dan mengigil seolah-olah adanya susuatu yang mengerikan di hadapannya.
Biasanya, anak/bayi akan menangis malam kerana 2 perkara iaitu:
1. Kembung perut
2. Gangguan makhluk halus
(1) Kembung perut
Biasanya berlaku ke atas anak lelaki, kerana kadang kadang dia kena hernia, iaitu angin pasang.
Symptomnya ialah perut keras, pusat membonjol, kadang-kadang mata tengok ke atas.
Rawatannya :
1 – Siapkan satu kain, letakkan halba campur dan lada hitam di dalamnya dan punjutkan ia (ikat keempat-empat bucu kain ke atas (seperti bungkusan barang orang zaman Hang Tuah mengembara).
2 – Layurkan dekat api (janganlah terlalu hampir sampai terbakar kainnya).
3 – Tuam (ataupun demah) di kawasan kemaluannya, perutnya, belakangnya, betisnya.InysaAllah, selepas itu bayi tersebut akan muntah-muntah atau sendawa-sendawa sehingga hilang kembung perutnya itu.
Buat sehingga perutnya akan kembali lembut.Antara petua untuk mengelakkan anak kembung perut ialah ibu yang menyusukannya mesti menjaga makan, kerana anak yang disusuinya akan ada kaitan dengan keadah pemakanan si ibu tersebut.
Elakkan makan pucuk ubi. Sebaik-baiknya ibu tersebut berpantang. Antara kelebihan pantang yang lain adalah untuk mengelakkan perut berlipat-lipat (menggelebeh). Makanlah JAMU (JAMU sebenarnya adalah singkatan kepada JAgalah diriMU).
(2) Gangguan makhluk halus
Biasanya disebabkan oleh gangguan syaitan atau iblis, ibunya iaitu Ummu Sibyan, iaitu namanya Umma Mildam.Symptomnya ialah di tempat pertemuan kening mata, ada urat yang berwarna biru atau kehijauan timbul, mata terbeliak ke atas.
Rawatannya :
1 – Ambil segelas air masak.
2 – Bacakan pada air tersebut surah Al fatihah, ayat qursi (sebaik-baiknya dibaca 9 wakaf), surah Al-ikhlas (7x), surah Al-falaq (7x), surah An-nas (7x).
3 – tiup ke dalam air tersebut.
4 – Pada waktu maghrib, ambil anak yang selalu menangis malam itu, bawa ke depan pintu utama rumah.
5 – Lunjurkan kaki dia ke arah luar rumah (melalui pintu utama tersebut), kita mesti duduk di bahagian kepala dia.
6 – Ambil air yang telah dibacakan tadi, masukkan ke dalam mulut kita (bukan minum).
7 – Ketika anak tersebut sedang melalak, semburkan secara mengejut air tersebut (melalui mulut kita) ke kanan, kemudian ke kiri, kemudian yang terakhir sekali ke tengah; iaitu kesemuanya ke seluruh badan iaitu dari kepala sehingga ke kaki. Pastikan kena di bahagian pertemuan kening tersebut, sembur paling kuat di situ.
8 – Ulang langkah 1 -8 selama 3 hari berturut-turut (menurut ustaz, insyaAllah 1 hari pun biasanya sudah berjaya, tapi untuk memastikan keberkesanannya).
9 – Lebihan air ini, bagi anak itu minum dan sapu pada ubun-ubunnya. Paling baik sekali jika dimandikan anak itu dengan air tersebut.
10 – Untuk memandikannya, sebaik-baiknya dicampur dengan limau purut, kalau tiada limau purut gantikan dengan daun bidara, kalau masih tiada daun bidara, gantikan dengan limau nipis (tetapi kurang elok auranya).
Antara petua yang lain yang boleh dibuat ialah :
1 – Buka seluas-luasnya semua tingkap dan pintu rumah.
2 – Bapa kepada budak/pesakit tersebut perlu azan (dengan sebutan yang betul).
3 – Lakukannya setiap hari kerana di dalam rumah ada gangguan makhluk halus.
Kesemua ini hanya usaha kita yang kerdil, berjaya atau tidak maka serahkanlah ia pada Allah taala, Yang Maha Menyembuh.
Wallahua’lam.