MACHANG 11 Jan. - Seorang warga emas, Ibrahim Mat Noor, 78, dari Kampung Laklok di sini mendakwa menghadapi masalah sukar untuk tidur dan lebih banyak menghabiskan masa dengan merangkak mengelilingi ruang rumahnya pada waktu malam, sejak 13 tahun lalu.
Isteri warga emas terbabit, Rokiah Mustafa, 60, berkata, masalah sukar tidur yang dihidapi oleh suaminya bermula selepas lelaki itu mengadu dipatuk seekor ular ketika sedang membersihkan kebun milik mereka di kampung berkenaan.
Menurut Rokiah, selepas kejadian itu, suaminya tidak mampu berjalan dan penglihatannya turut terjejas meskipun telah mendapatkan rawatan di hospital dan menerusi kaedah tradisional.









