Perubatan Islam tolak kaedah pembedahan batin

Kuala Lumpur: Perubatan Islam menolak sama sekali kaedah pembedahan batin kerana ia tiada dalam hadis mahupun al-Quran serta tidak diiktiraf oleh imam muktabar.

Presiden Gabungan Persatuan Pengamal Pengubatan Islam Malaysia (GAPPIMA) Mohd Fauzi Mustaffa berkata, pembedahan kaedah itu didapati menggunakan khidmat makhluk lain seperti jin dan ia jelas bertentangan dengan Islam.

“Mungkin ada pengamal pembedahan batin ini yang memberi hujah kononnya pembedahan cara itu digunakan oleh Malaikat Jibrail ketika ‘menyucikan’ hati Nabi Muhammad SAW sedangkan ia adalah mukjizat dan tidak boleh dikiaskan dengan makhluk lain.

“Imam terdahulu antaranya Imam Syafie, Imam Hanafi, Imam Ahmad dan beberapa imam muktabar lain turut menolak perbuatan ini dan ia tidak dinyatakan di dalam mana-mana kitab perubatan Islam,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, di sini, semalam.

Awal minggu lalu, akhbar melaporkan seorang bomoh lelaki berusia 50-an menggunakan beberapa peralatan tertentu kononnya membuang sihir dan melakukan ritual kononnya pembedahan batin.

Mohd Fauzi yang juga Panel Rujuk Perubatan Islam di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkata, kaedah itu tidak wujud dan orang ramai perlu menghindarinya kerana ia bersalahan di sisi syarak.

“Saya ingin nasihatkan kepada masyarakat supaya jangan mudah tertipu dengan penampilan. Mungkin individu ini menggunakan pendekatan personaliti untuk menarik perhatian orang lain sedangkan kaedah rawatan mereka menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.

“Penting untuk masyarakat melihat kaedah rawatan serta ilmu perawat itu sendiri. Tidak semua rawatan alternatif dapat menyelesaikan masalah, ada keadaan yang kita perlu merujuk kepada perubatan moden untuk penyakit tertentu,” katanya.

Selain itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mencari pengamal rawatan Islam yang diiktiraf serta dikenali umum bagi mengelakkan mereka tertipu dengan individu yang menyamar sebagai ‘perawat Islam’.

Sumber :- Harian Metro Online

0 comments:

Post a Comment