Hakikat tahdhirul-arwah dan kaitannya
dengan jin Tahdhirul Arwah atau disebut di dalam bahasa Melayu,
‘memanggil ruh’, bukanlah perkara baru tetapi telah wujud sejak zaman
dahulu kala lagi di kalangan bangsa Cina, India, Mesir kuno, Yunan,
Roman, termasuk juga orang-orang Islam. Akhirnya dari semasa ke semasa
sudah menjadi suatu ilmu yang dianuti orang-orang Barat.
Mohd Farid Wajdi di dalam bukunya mengatakan bahawa perkara ini memang
telah lama wujud sehingga berjuta-juta manusia mengakui tentang
‘kebenaran’ mazhab Ruhani ini.
Di ‘Barat’ teori ini sudah diterima oleh mereka sehingga lebih daripada
150 akhbar dan majalah yang tersebar menjelaskannya. Mereka percaya
dengan sepenuhnya konsep kembalinya roh orang yang sudah mati ke dalam
jasad seseorang yang hidup.
Soalan yang timbul sekarang ialah :
Apakah benar roh yang telah meninggalkan jasad ini dapat kembali semula
ke dunia ini dan menjalankan aktivitinya sebagaimana dahulu sepertimana
yang diyakini oleh mereka?
Al-Quran dan Sunnah telah pun menjelaskan bahawa apabila manusia telah
mati maka putuslah segala amalannya dan tidak akan kembali lagi ke dunia
ini dalam keadaan mana sekalipun. Roh orang yang telah mati akan
diangkat ke langit sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam
al-Quran.
Maka dari mana pula roh boleh kembali ke dunia ini sekali lagi dan apakah hujahnya?
Asy-Sheikh Al-Ghazali berkata : “Seseorang manusia diberi peluang untuk
beramal dan berbakti, bertaqwa di dunia ini, berjaya atau sebaliknya
bergantung kepada amalannya. Setelah terputus nyawanya maka tidak ada
apa-apa tanggungjawab lagi setelah mati maka balasan dan seksaan akan
bermula,” sebagaimana firman Allah SWT :
"dan mereka menjerit-jerit di Dalam
neraka itu (sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, keluarkanlah Kami (dari
azab ini); Kami akan mengerjakan amal-amal Yang soleh, Yang lain dari
apa Yang Kami pernah kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka): "Bukankah
Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa Yang cukup untuk
berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa Yang suka berfikir dan
beringat? dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) Yang memberi
amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang Yang zalim
tidak akan beroleh sesiapapun Yang dapat memberikan pertolongan".[Fatir :
37]
Begitu juga penjelasan yang disebut dalam al-Quran bahawa orang yang
menyesali maksiat sewaktu akan mati tatkala melalui kepedihan Sakaratul
maut, terfikir untuk kembali ke dunia apabila teringat amalan-amalan
yang lalu yang telah ditinggalkan dan masa yang terbuang begitu sahaja
dengan katanya :
"رَبِّ ٱرۡجِعُونِ (٩٩) لَعَلِّىٓ
أَعۡمَلُ صَـٰلِحً۬ا فِيمَا تَرَكۡتُۚ كَلَّآۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ
قَآٮِٕلُهَاۖ وَمِن وَرَآٮِٕهِم بَرۡزَخٌ إِلَىٰ يَوۡمِ يُبۡعَثُونَ"
"Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) Supaya Aku
mengerjakan amal-amal Yang soleh Dalam perkara-perkara Yang telah Aku
tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu
hanyalah kata-kata Yang ia sahaja Yang mengatakannya, sedang di hadapan
mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari
mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)." [A-mukminum : 99-100]
Di saat itu sudah terputus amalan, dan tidak ada lagi sebarang
aktiviti, peluang bertaubat sudah tertutup bagi menampung segala
kekurangan yang berlaku.
Beramal dan bertaubat bukan menanti hari esok tetapi hari ini, untuk
mencari kebahagian hari akhirat adalah dengan beramal sebelum nyawa
sampai di halkum.
Apabila sudah sampai detik untuk berpindah ke alam baqa, maka
malaikat Kiraaman Katibin menggulung segala daftar amalan kita dan
sedikit pun tidak memandang atau mempedulikan taubat orang yang sedang
nazak (hampir mati).
Semua roh setelah meninggal dunia akan berada di alam barzakh untuik
menerima balasan yang telah ditentukan berdasarkan kepada amalan semasa
ia hidup di dunia ini. Sama ada ia menerima pembalasan yang penuh nikmat
atau azab sengsara yang pastinya tidak ada peluang lagi baginya untuk
kembali ke alam fana ini. Mereka tidak boleh lagi menjalankan segala
aktiviti baik menjadi tukang ubat, mangajar, memberi nasihat dan
sebagainya.
Maka soalannya, apakah sebenarnya yang berlaku pada orang yang bercakap itu?
Yang datang menjelma di dalam diri seseorang itu ialah syaitan yang
menguasai otak manusia dan berusaha menyesatkan manusia kerana itulah
tugas utama mereka.
Umar Al-Asyqar berkata: "Pada zaman ini sudah tersebar di merata
tempat mengenai perkara ini sehingga dipercayai oleh ramai orang.
Sambungnya lagi apakah pendirian Islam dalam hal ini? Setelah kita
mengkaji al-Quran, jelaslah bahawa roh yang berada di alam ghaib
mustahil untuk kembali ke dunia ini".
Roh yang telah diambil dan diserahkan kepada malaikat yang
bertanggungjawab tidak akan terlepas lari dan turun semula ke bumi untuk
dipermainkan oleh akal cetek manusia.
Ada pula di kalangan mereka yang menyangka bahawa roh yang datang itu
adalah roh orang yang soleh, sama ada nabi, orang-orang yang mati
syahid, wali-wali Allah dan sebagainya.
Kalau kita renungkan bahawa para Rasul, Nabi-nabi, para syuhada, Wali
Allah, hamba-hamba Allah yang solah sudah berada di alam barzakh, dan di
syurga menerima kebahagian nikmat yang telah disediakan oleh Allah,
bagaimana pula mereka akan meninggalkan syurga dan turun ke bumi dan
masuk pula ke dalam jasad orang fasiq.
Baginda Rasulullah SAW telah menegaskan bahawa roh-roh orang yang mati
syahid berada di muncung burung hujau yang berterbangan di kebun-kebun
syurga, menikmati kesegaran, memakan buah-buahan, meminum air di syurga
dan kemudian tinggal di lampu yang bergantung di atap ‘arasy Ar-Rahman.
Bagaimana pula golongan ini boleh memanggil roh-roh ini turun semula ke
bumi?
Kesimpulannya dapatlah dikatakan bahawa yang dipanggil itu bukanlah roh
tetapi jin atau syaitan yang menyamar sebagai wali, nabi, orang alim
dan sebagainya. Tugas mereka adalah untuk menyesatkan bani Adam a.s.
Sumber :- http://darussalam.net.my/index.php/14-2012/jin-a-kehidupan/53-tahdhirul-arwah-spiritism-dan-kesannya
0 comments:
Post a Comment